Tuesday 20 March 2012

Itulah manusia

Orang yang tidak berbuat apa-apa boleh berkata apa-apa sahaja. Dia nampak orang berniaga kecil-kecilan, dia kata, "Buat apalah berniaga tepi jalan, bila nak kaya?" . Dia lihat orang berlatih sukan, dia kata, "Setakat jaguh kampung bolehlah." Dia terserempak dengan orang yang menulis buku, dia kata, "Setakat buku picisan macam ni aku pun boleh buat." 

Hakikatnya dia tidak pernah berbuat apa-apa. Maka itu dia bebas berkata apa-apa sahaja. Jika dia berbuat perkara yang sama, dia akan berfikir banyak kali sebelum memberikan komen. Dia tahu susah payahnya merealisasikan sesuatu perkara.

Orang begini pastinya tidak akan ke mana-mana. Dia akan statik pada kedudukannya sebagai pemerhati dan pengkritik. Ramai sungguh orang yang menjadi penganalisa. Cakapnya pandai, hujahnya kadang-kadang bernas juga tetapi suatu apa pun tidak pernah terhasil olehnya. 

Kena lihat setiap sesuatu yang besar itu bermula daripada sesuatu yang kecil. Setiap yang lahir terus gagah, biasanya tidak bertahan lama. Kebanyakan orang kaya asalnya orang biasa. Pemimpin asalnya rakyat biasa. Seekor ayam asalnya sebutir telur. Seekor burung yang terbang tinggi di angkasa asalnya kecil, lemah dan tanpa sayap. Setiap hari ibu burung akan mencarikan makanan untuknya dan memasukkan makanan itu ke dalam mulutnya. Tiada seekor burung pun tiba-tiba lahir dan terus boleh terbang.
 

Orang yang tidak berbuat apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja. Bercakap itu mudah maka itu ramai orang melakukannya. Apabila tiba masa untuk berbuat, selalu menyerah sebelum mencuba.
 Istimewanya mereka hanya pada, "Eleh, setakat macam tu, aku pun boleh," namun dia tidak pernah melakukannya. 


Itulah pelik dan anehnya sesetengah manusia. 

…………..

"Doktor, tolong saya. Sebiji kacang hijau masuk ke telinga saya," kata seorang pesakit. 

"Wah, ini sukar sekali. Perlu teliti mengeluarkannya, kalau tidak dalaman telinga awak boleh cedera."
 

"Apa susahnya doktor, sebiji kacang hijau je."
 

"Kalau begitu, awak masukkan air ke telinga, tunggu hingga ia tumbuh menjadi taugeh, senanglah awak cabut."
 

Orang yang tidak tahu apa-apa memang boleh berkata apa-apa sahaja.
 



3 comments:

  1. iya, bercakap senang..
    nak laksanakan tu yg sukar

    ReplyDelete
  2. Cakap saja lebih, tapi tiada usaha.. tiada gunanya juga ;)

    Manusia senang memperlekehkan orang lain..nama lagi manusia :D

    ReplyDelete